# Selamat Datang Ke Blog Unit Pembangunan Usahawan Kraf # # Penulisan di dalam blog ini adalah pandangan individu semata-mata. Sebarang penggunaan maklumat dan penulisan dalam blog ini adalah di bawah tanggungjawab sendiri. Sekian # # Terima Kasih Atas Kunjungan Anda #

makmal SUAI PADAN FABRIK dan corak pada rekaan batik

PADA 18 hingga 21 Oktober 2012, selama tiga (3) hari bertempat di Tanjung Bidara Beach Resort, Melaka telah berlangsungnya Makmal Suai Padan Fabrik Dan Corak Pada Rekaan Batik.  Makmal ini adalah lanjutan daripada makmal yang telah diadakan iaitu Makmal Pengeluaran Produk Batik di Kraf Holdings Sdn Bhd sebelum ini.



Makmal ini telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Usahawan, Encik Ibrahim bin Haji Ismail yang mana pada ucapan beliau mengharapkan agar setiap peserta yang hadir dapat mempelajari dengan bersungguh-sungguh bagaimana perletakan rekacorak, kemasan jahitan pakaian batik yang bersesuaian dan memenuhi kehendak pelanggan masa kini.



Objektif penganjuran makmal ini adalah untuk memberi pendedahan kepada usahawan kraf batik cara-cara menghasilkan rekaan pakaian yang berasaskan kehendak pasasran dan tertumpu kepada rekaan yang komersil.  Makmal ini juga adalah untuk memberi pendedahan kepada usahawan kraf batik berkaitan teknik perletakan motif pada pola serta teknik jahitan pakaian yang kemas dan teratur.



Seramai 23 orang peserta termasuk pekerja Kraf Holdings Sdn Bhd telah turut serta dalam makmal tersebut.  Sepanjang tiga (3) hari makmal berlangsung, peserta telah diajar oleh Cik Rosemawati Binti Md. Noh, Dekan Fakulti Fesyen, Kolej Lagenda, Mantin, Negeri Sembilan.

 

Penganjuran bengkel ini adalah sangat-sangat memuaskan hati para peserta kerana mereka dapat mengetahui cara untuk membuat perletakan rekacorak sebelum proses mencanting atau menerap dilakukan.  Ia sekaligus dapat menyelami dan mengetahui proses yang dilakukan oleh tukang jahit dalam penghasilan pakian batik.


pelapor / gambar : fatimah

MAKMAL kemasiapan produk senjata & larik


BERTEMPAT di Furniture Industry Technology Center (FITEC), Batu Caves, Kuala Lumpur, Bahagian ini telah menganjurkan satu Makmal Kemasiapan Produk Senjata Dan Larik.  Ia telah bermula pada 2 Oktober 2012 dan berakhir semalam 4 Oktober 2012 dengan penyertaan seramai 8 orang usahawan dari bidang kraf sarung parang dan kalu larik.



Peserta adalah dari negeri berbeza iaitu 3 orang dari Melaka, 2 orang dari Negeri Sembilan, seorang masing-masing dari Selangor dan Kedah.  Seorang usahawan kayu larik dari Johor juga telah menyertai makmal ini yang bertujuan untuk memperkemaskan lagi permukaan hulu dan sarung parang yang dihasilkan oleh usahawan termasuk kayu larik.



Tenaga pengajar dari Fitec iaitu Tn Hj Mahmud bin Hj Nasehan dan dibantu oleh En. Zulhaili bin Johari telah dipertanggungjawab untuk sesi pembelajaran secara teori dan secara praktikal.



Adalah diharapkan agar usahawan yang menyertai makmal ini akan dapat mengaplikasi apa yang dipelajari dan mengeluarkan produk yang lebih berkualiti untuk pasaran sempena Hari Kraf Kebangsaan 2013 yang akan datang.


pelapor / gambar : nizam

makmal pengeluaran produk BATIK di kraf holdings sdn bhd

BERMULA 27 September dan berakhir pada 30 September 2012 yang lalu, Bahagian ini telah menganjurkan satu Makmal Pengeluaran Produk Batik bertujuan mewujudkan produk-produk baru di pasaran terutamanya sempena aktiviti Promosi Kraf Inspirasi Alam 2012 dan Promosi Hari Kraf Kebangsaan tahun 2013.


 
Makmal kali ini diadakan di bengkel pengeluaran Kraf Holdings Sdn Bhd dengan kerjasama Institut Kraf Negara dan penyertaan usahawan adalah seramai 18 orang termasuk enam (6) orang peserta dari Kraf Holdings Sdn Bhd.


 
Peserta telah dibahagikan kepada empat (4) kumpulan dan dikehendaki mengeluarkan produk batik pelbagai kegunaan dengan mengaplikasi pelbagai teknik termasuk teknik canting, blok, brush, renjisan, wash, ikat celup dan pelbagai lagi teknik penghasilan produk batik tanpa batasan.


 

Pada malam terakhir, peserta membentangkan setiap produk yang telah dihasilkan untuk dinilai kreativiti dan kesesuaian produk tersebut untuk pasaran seperti yang ditetapkan.


pelapor / gambar : fatimah

makmal produk anjuran PKKM CAWANGAN MELAKA

Bermula 24 September dan berakhir 29 September 2012 yang lalu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Melaka telah menganjurkan tiga (3) makmal teknik secara serentak iaitu Makmal Teknik Kemasan Anyaman Rotan, Kemasan Tempurung dan Gubahan Daun Getah bertempat di bengkel inkubator cawangan negeri.


Makmal Teknik Kemasan Anyaman Rotan telah diajar oleh pakar anyaman rotan iaitu En Ishak Kassim (cikgu Nan) dari Kraf Rotan Ishak - Melaka dengan peserta seramai 5 orang.

Seramai 14 orang peserta telah menyertai Makmal Teknik Kemasan Tempurung yang diajar oleh En Yusof Ahmad dari Garden Gallery.

Pn. Normadiah Sahid dari Negeri Sembilan telah dilantik sebagai tenaga pengajar bagi Makmal Teknik Gubahan Daun Getah kepada peserta seramai 5 orang.  Kesemua peserta adalah usahawan dari negeri Melaka dan mensasarkan pengeluaran produk sempena Hari Kraf Kebangsaan 2013 yang akan datang.






pelapor / gambar : iman

kursus E-USAHAWAN di pusat rekaan kraf


Pada 27 & 28 September 2012 yang lepas, Bahagian Usahawan dengan kerjasama Bahagian Teknologi Maklumat telah menganjurkan Kursus Penggunaan Sistem E-Industri (E-Usahawan) bertempat di Pusat Rekaan Kraf, Kraftangan Malaysia.  Seramai 13 anggota kerja dari semua cawangan negeri telah menghadirkan diri bagi mengetahui pengendalian sistem e-usahawan bagi memenuhi keperluan Kraftangan Malaysia dalam memuat naik maklumat usahawan ke dalam sistem atas talian (online).

Kursus tersebut juga telah mendapat sentuhan Yang Berusaha Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Tuan Haji Shahrudin Mohd Nor di mana beliau memberi taklimat betapa pentingnya maklumat usahawan yang dimuat naik kepada Kraftangan Malaysia dan kepada industri kraf negara amnya.

Semoga dengan penganjuran kursus ini, pegawai yang telah dilantik mendapat sokongan daripada pihak atasan cawangan dalam mengemaskini maklumat usahawan di bawah seliaan setiap cawangan negeri.


pelapor : masz
gambar : atiya